Assalamualaikum,Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum. Selamat datang ke laman web Sekolah Menengah Islam Tahfiz al-Amin (SMITA). SMITA merupakan sebuah sekolah menengah swasta berasrama penuh baru dengan pendekatan baru yang InsyaAllah akan mula beroperasi pada
bulan Januari 2012. SMITA yang buat permulaan ini (hanya menerima para pelajar lelaki sahaja),terletak di persekitaran sawah padi yang menghijau di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak (lihat peta).
SMITA ditubuhkan sebagai respon kepada keperluan Muslim semasa di mana ramai ibubapa yang bimbang anak-anak mereka terpengaruh dengan gaya hidup bebas atau terjebak dalam gejala sosial yang semakin menular dan membimbangkan. Ramai juga ibubapa yang merasakan bahawa pendidikan Islam yang diajar pada hari ini masih belum mampu menjadi perisai kepada pelbagai cabaran moden dan ancaman keruntuhan aqidah dan akhlak Islamiyah.Tambah memburukkan keadaan ialah apabila sistem pendidikan kita di Malaysia sangat berorientasikan peperiksaan.Ia sedikit sebanyak telah merosakkan cara / rangka berfikir masyarakat kita yang sekadar berbangga dengan keputusan peperiksaan yang ‘cemerlang’ (8A, 9A atau 10A).
Mereka tidak menyedari bahawa ramai pelajar yang ‘cemerlang’ di atas kertas ini sebenarnya kurang terbangun banyak potensi kemanusiaannya, kurang kreatif, kurang kritis dan analitis pemikirannya serta kurang berketrampilan dalam komunikasinya. Ketika belajar anak-anak kita biasanya mempunyai kecenderungan (tendency) untuk sekadar menerima bulat-bulat apa yang diberikan kepada mereka.Mereka tidak banyak menyoal, apalagi mengkritik atau mengemukakan cadangan-cadangan yang membina. Ketika membuat persediakan untuk menghadapi peperiksaan mereka nampaknya lebih selesa untuk sekadar menghafal fakta dan memuntahkan semula apa yang telah dihafal dalam dewan peperiksaan. Para pelajar kita di Malaysia berada dalam situasi di mana mereka sangat terikat dengan skima jawapan yang telah ditetapkan.
Sedangkan di Barat kita melihat bagaimana para pelajar tidak begitu menyukai ‘formality’ dan lebih memilih untuk mengemukakan jawapan yang fleksibel. Guru-guru juga sangat fleksibel dalam menerima idea dari para pelajar, dan selalu membuka ruang perbincangan.Mereka sangat menghargai kreativiti pelajar selama mana jawapan yang diberikan itu logik dan praktikal. Bahkan mereka sangat terbuka dalam menerima kritikan dan cadangan.Dalam pada itu, sangat menyedihkan apabila melihat bagaimana sebahagian lepasan sekolah-sekolah agama di Malaysia semacam melupakan ilmu-ilmu agama terutamanya bahasa Arab yang mereka pelajari semasa di sekolah. Hal ini berlaku terutamanya jika mereka mengambil jurusan profesional yang tidak berkait secara langsung dengan Islam.
Islam yang diamalkan oleh mereka juga nampaknya sangat bersifat ‘superficial’.Tidak dinafikan bahawa mereka masih mendirikan solat, membaca al-Quran dan berdoa, tetapi inti ajaran Islam yang sebenar nampaknya masih belum berjaya diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian mereka.Tidak menghairankan apabila ramai ibubapa yang beralih kepada sekolah agama swasta, malah ada segelintir ibubapa yang memilih pendekatan pendidikan ‘homeschooling’. Bahkan nampaknya, konsep ‘homeschooling’ ini semakin diterima sebagai salah satu alternatif pendidikan rasmi.
Para ibubapa terpaksa bergantung kepada sistem persekolahan alternatif ini kerana kurang berpuashati dengan sistem yang sedia ada.Justeru kami di SMITA berusaha sedaya upaya menawarkan satu bentuk pendidikan komprehensif yang menggabungkan matapelajaran diniah (Islam) dan akademik. Kedua-dua aliran ini cuba digabungkan dan diimbangkan dengan sebaik mungkin bagi menyiap-sediakan pelajar dengan ilmu, sikap, amalan dan kemahiran hidup yang mencerminkan tujuan dan fungsi Islam sebagaimana yang diturunkan oleh Allah s.w.t dan dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.Kami akan memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar bahawa Islam adalah satu-satunya cara hidup yang akan menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat.Mereka akan terus diyakinkan bahawa kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat berpaksi kepada pengabdian diri kepada Allah.
Islam datang untuk membebaskan umat dari kesesatan aqidah, kerendahan akhlak serta kelemahan daya juang dan motivasi hidup.Dengan sokongan ibubapa, guru-guru dan masyarakat sekitar, kami yakin dapat membina dan melatih generasi muslim yang bertaqwa, mampu berfikir (kritis dan analitis) dan berjiwa tajdid, InsyaAllah.
Kesimpulannya, bergantung kepada ibu-bapa, pendidik dan para pelajar itu sendiri untuk mencorak sistem pendidikan dan pembelajaran yang dirasakan sesuai dan berkesan bagi diri masing-masing.Layarilah laman web ini seterusnya bagi mengenali kami dengan lebih dekat dan kami berdoa agar tuan/puan dapat berganding bahu bersama kami dalam melayari perjalanan hidup yang penuh ranjau dan duri ini.
Al-Faqir Ila Allah,.........................................................
( En Kamal bin Ariffin)