:
Sekapur Sirih daripada Pengetua SMITA 2020


 

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور انفسنا و من سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ومن يضلله فلا هادي له وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له و أشهد أن محمدا عبده  رسوله.  اللهم صل على سيدنا محمد و على آله وصحبه أجمعين.

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته.

Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk bertahmid sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga atas rahmat Islam dan Iman yang dikurniakan kepada kita semua.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat datang kepada semua pengunjung laman web Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al-Amin) SMITA) yang telah sudi bertandang memberikan sokongan kepada kami khususnya dan institusi pendidikan Islam amnya. Ambillah kesempatan ini untuk mengenali lebih rapat tentang SMITA agar ikatan yang lebih erat dapat dijalin bersama. Bak kata pepatah “Tak kenal maka tak cinta”.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, penekanan dan fokus utama sebuah sekolah adalah untuk menyediakan platform pembelajaran yang kondusif dan menyeluruh kepada para pelajar. Ia merangkumi bukan sahaja pembelajaran ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrowi malah memberi penekanan terhadap  kemahiran berfikir serta pembangunan jatidiri dan pembentukan akhlak. Kecemerlangan akademik perlulah bergerak seiring dengan pembangunan karakter terpuji bagi memastikan pembentukan masyrakat muslim yang unggul dapat direalisasikan.

Antara perkara yang berlaku sepanjang setahun dua ini, penularan wabak Covid-19 pastinya menjadi topik hangat yang diperkatakan oleh warga dunia. Pandemik ini telah merubah landskap ekonomi dan sosial mayapada, menjadikan penjarakan fizikal serta interaksi atas talian sebagai normal baharu kehidupan manusia yang turut melempias kesan mendalam kepada sektor pendidikan.

Impaknya begitu melata sehinggakan taqwim pendidikan nasional turut berubah, mengheret warga pendidik serta pemain industri memanipulasi sumber yang pelbagai bagi memastikan kelangsungan sistem pendidikan mapan terus terpelihara.

Cabaran dan mehnah yang terwujud ekoran perubahan landskap pendidikan nasional telah menuntut kerjasama erat semua pihak agar penularan wabak ini dapat dikekang dan kehidupan seperti sediakala dapat diamalkan. Marilah kita terus menggembleng tenaga dan berganding bahu membawa tanah air yang tercinta ini menongkah dugaan dan halangan bagi mencipta Negara Bangsa yang terjulang tinggi martabat dan maruahnya.

وبالله التوفيق و الهداية و السلام عليكم ورحمة الله و بركاته