:
SEKALUNG BUDI


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ibu bapa, penjaga, dan para penaja pelajar SMITA serta para pembaca yang dihormati. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anda sekelian atas segala budi dan jasa yang disumbangkan untuk kemajuan pelajar SMITA.

Rasa syukur yang tidak terhingga atas limpahan   rahmat dan kasih Allah, alhamdulillah SMITA  kini sudah hampir melangkah ke tahun yang keempat.  Pada tahun 2014, pelajar semakin ramai dan pastinya berbagai karenahnya , ada yang lembut hatinya dan mudah dididk dan ada pula yang keras hatinya dan buruk akhlaknya hingga memaksa kami memberi hukuman rotan kepada mereka bak kata pepatah Melayu sayang anak tangan-tangankan. Sungguhpun kadangkala guru marah dan merotan pelajar tetapi percayalah bahawa tiada niat lain di hati seorang guru melainkan ingin mendidik dan melihat  pelajarnya menjadi insan soleh bertaqwa  apabila mereka dewasa nanti. Kejayaan pelajar adalah kepuasan dan kebahagiaan guru. Kadangkala kami terpaksa menyerahkan kembali anak-anak yang tidak mampu kami didik kepada ibu bapanya demi menjaga kemaslahatan pelajar-pelajar lain. Oleh itu kami sangat mengharapkan ibubapa memahami dan memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik dengan cara yang sewajarnya.

Pendidikan anak-anak bukan hanya di sekolah sahaja malah sebenarnya ia bermula di rumah dan  seterusnya dalam masyarakat di lingkungannya. Untuk mencapai visi dan misi SMITA, sokongan ibu bapa sangat besar ertinya. Ahli Jawatan Kuasa Kelab Penyokong 2014/15 juga tidak kurang hebatnya daripada AJK KPSMITA sebelumnya dalam menyokong SMITA dan pelajar-pelajarnya.

Pada tahun 2014 beberapa mesyuarat dan perjumpaan telah dirancang . AJK KPSMITA telah bermesyuarat sebanyak 7 kali dan telah mengadakan beberapa kali perjumpaan.

Pada 24 Mei 2014 AJK KPSMITA yang diketuai oleh Pengerusi KPSMITA En. Rosli Kamudin bersama ibu bapa pelajar yang bukan ahli seperti En.Raai’ telah bertungkus lumus menjayakan Majlis makan tengahari sempena majlis anugerah kecemerlangan Pelajar Kursus Intensif Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris bagi mengumpulkan dana untuk membantu kegiatan ko kurikulum pelajar. Alhamdulillah berkat kegigihan semua sumbangan dana yang terkumpul adalah berjumlah RM19,897.50. Pada Mesyuarat AJK KPSMITA yang ke 4 pada 31 Ogos 2014 RM4,300.00 telah diluluskan penggunaanya bagi membantu program kem motivasi, Bahasa Arab, Kelas Tambahan Matematik, meberi saguhati kepada pelajar yang komited di Kedai Al Amin, membeli alat muzik lulus syarie bagi mengiringi kumpulan nasyid seperti Darbuka Turkey, Congga dan lain-lain.

Pada 29 Ogos 2014 Jumaat malam Sabtu En.Raie’, ayah kepada Adam iaitu Ketua Pelajar SMITA 2014 telah memberikan ceramah tentang erti sebuah kemerdekaan kepada pelajar. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada beliau yang gigih membantu memberi kesedaran dan semangat kepada warga SMITA supaya menghargai nikmat kemerdekaan dengan erti yang sebenarnya.

 

Pelajar dan ibu bapa serta guru telah bekerjasama menjayakan jamuan barbeque Merdeka Raya   pada 31 Ogos 2014  di lapangan terbuka SMITA . Jiran keliling SMITA juga telah dijemput sama meraikan hari tersebut dan menikmati jamuan yang disediakan dan dipanggang bersama secara gotong royong. Alhamdulillah majlis ini dapat memupuk semangat kerjasama di antara semua warga SMITA yang terlibat. Pengarah, Timbalan Pengerusi Jemaah Pengurusan dan sebahagian AJK Jemaah Pengurusan SMITA juga turut serta  dalam majlis tersebut.

Pada  01 November 2014, majlis sambutan tahun Baru Hijrah 1436H akan disambut bersama ibu bapa dan penjaga. Pada hari tersebut pelajar SMITA akan mempersembahkan Pertandingan Pidato Peringkat Akhir dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Piala pusingan bagi Pidato Bahasa Inggeris telah disumbangkan oleh Tuan Haji Zainuddin Alang Mamat, Pengarah SMITA, piala pusingan bagi Pidato Bahasa Melayu disumbangkan oleh Tuan Haji Hassan bin Ibrahim, Penolong Setiausaha Jemaah Pengurusan SMITA dan piala pusingan bagi Pidato Bahasa Arab disumbangkan oleh Puan Pengetua SMITA.

Segala saranan dan idea yang diberikan khususnya semasa perjumpaan dan mesyuarat Kelab Penyokong adalah sangat kami hargai. Teguran dan penghargaan yang diberikan akan kami terima dengan lapang hati dan fikiran yang terbuka. Begitu juga kepada para penaja dan penyumbang yang telah bermurah hati membantu SMITA dan pelajar yang kurang berkemampuan hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi dan jasa kalian dengan ganjaran yang berganda di akhirat nanti, aamiin. InsyaAllah semuanya akan kami jadikan sebagai panduan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kami dalam membantu menanamkan jiwa taqwa, mendidik akhlak dan memajukan pelajaran anak-anak di SMITA.

Tiada kata seindah bahasa hanya sekalung budi saya persembahkan kepada semua ibu bapa yang telah memberi kerjasama yang memberangsangkan kepada pihak pengurusan SMITA demi kebaikan dan kemajuan pelajar-pelajar yang dikasehi.

 

Ustazah Dewi Maslehah Md.Yusop.
Penasihat Kelab Penyokong SMITA.